Halong Bay


Keunikan 1,969 pulau batu kapur yang belum diteroka di utara Hanoi jadi tumpuan utama pelancong

HA LONG Bay atau Teluk Ha Long yang terletak kira-kira 180 kilometer di utara Hanoi, Vietnam menjanjikan pemandangan indah dengan ribuan pulau batu kapur dan ratusan bot keluar masuk di perairan itu.

Teluk itu dikatakan terbentuk daripada badan seekor naga dan sudah beberapa kali menjadi saksi kepada peperangan membabitkan negara itu dengan negara lain termasuk China dan Amerika Syarikat. Ribuan pulau yang bertaburan di teluk dianggap membantu menghalang tentera China mendarat di tanah air mereka.


Ketika perang Vietnam, tentera Amerika Syarikat memasang banyak periuk api bagi meletupkan kapal tentera komunis yang bersembunyi di celah-celah ratusan pulau dan gua di perairan teluk berkenaan.

Kini semua itu tinggal kenangan, kawasan itu terus menjadi tarikan pelancong dari Eropah terutama Perancis kerana keunikan ribuan pulau batu kapur yang kebanyakannya masih belum diteroka.

Walaupun mempunyai perairan yang tenang, Teluk Ha Long tidak menawarkan pengalaman berjemur di pantai atau aktiviti menyelam kerana kadar garam dalam airnya terlalu tinggi menyebabkan penyelam sukar menikmati pemandangan dasar laut.

LATAR belakang batu kapur di Teluk Ha Long.

Apa yang menanti pengunjung ialah pemandangan menakjubkan tidak ubah seperti keadaan Hong Kong pada era 70-an apabila ratusan kapal perdagangan, bot pelancong dan nelayan berulang-alik belayar masuk dan keluar di kawasan teluk ini.

Pelancong boleh memilih untuk belayar dengan bot yang mengenakan bayaran serendah RM40 sejam bagi meneroka keindahan 1,969 pulau batu kapur yang kebanyakannya belum dicemari oleh pembangunan.

Halong Bay yang diisytiharkan sebagai satu daripada warisan dunia oleh Unesco pada Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia ke-18 di Thailand pada 17 Disember 1994 itu, memang unik.

LOKASI Ha Long Bay

Antara gua batu kapur yang paling terkenal ialah Gua Hang Dou atau Grotte des Merveilles yang diterokai oleh warga Perancis pada abad ke-19. Bahagian dalamnya memaparkan pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit hasil hakisan air dalam gua sejak jutaan tahun lalu. Pelbagai bentuk yang menakjubkan seperti obor-obor, gajah, monyet dan naga begitu mengasyikkan pengunjung yang melewati dasar gua.

Malah, kehebatan gua itu dapat dilihat daripada kesan haus tangga batu kerana hampir jutaan pelancong ke sini jika melancong ke Hanoi.

Selepas puas menaiki bot, pelancong boleh ke pantai di pulau Tuan Chau dan Cat Ba. Paling menarik, ada banyak penempatan nelayan bertaburan di sepanjang persisiran pantai pulau ini termasuk kemudahan chalet dan rumah tumpangan.

Beberapa pulau lain mempunyai kampung nelayan yang didirikan di atas air yang turut dimanfaatkan penduduk untuk menternak lebih 200 spesies hidupan laut.

Selain itu, pengunjung juga boleh memilih untuk bermalam di tengah laut dan melepaskan ‘ketagihan’ memancing dengan membeli joran serta umpan daripada penduduk tempatan dengan harga kira-kira RM8.

Pelancong juga boleh menikmati buah-buahan tempatan yang dijual oleh penduduk menggunakan sampan mewarnai kehidupan perkampungan air di teluk itu.

More foto



Comments